USAHAWAN muda kelahiran Pusat GIATMARA Malaysia mampu tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) jika berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Pengerusinya, Datuk Muhammad Musiyudin Abdullah, berkata kursus dan latihan yang diberikan pusat itu sudah melahirkan usahawan bertaraf antarabangsa dengan kemahiran yang diperoleh seterusnya menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurutnya, walau pun pelatih pusat itu tidak berpelajaran tinggi, dengan minat serta kesungguhan mereka mampu membuka cawangan perniagaan di serata pelosok dunia.

“Ada antara mereka membuka cawangan restoran di negara Arab dan mengeksport barang berasaskan kimpalan logam ke luar negara, jadi tidak mustahillah mereka akan tersenarai di BSKL satu hari nanti,” katanya selepas majlis perasmian Kelab Usahawan GIATMARA Negeri Kedah di Alor Star, malam kelmarin.

Menurut Muhammad Musiyudin, antara kejayaan lain pusat itu ialah muncul sebagai Institusi Terbaik Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) 2007 kerana memenangi jumlah pingat terbanyak dan seterusnya meraih Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu.

Katanya, pusat itu turut menubuhkan Kelab Usahawan GIATMARA bagi melahirkan masyarakat perdagangan Melayu pada Disember tahun lalu dan menyasarkan 11,000 bekas pelajar untuk menjadi ahli kelab sehingga hujung tahun ini bertujuan memudahkan mereka mendapat pinjaman dan kemudahan lain yang disediakan.

“Yang penting kami dapat melahirkan pelatih yang mendapat tempat (kerja dan peluang perniagaan) dalam pelbagai industri serta mengurangkan pengangguran di kalangan belia,” katanya.

Bagi remaja yang gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tetapi mempunyai minat dalam bidang tertentu, menurutnya, pusat itu sentiasa memberi peluang kepada mereka menimba pelbagai kemahiran selaras dengan permintaan pasaran kerja. - Bernama